Puisi Ketua Penerangan TERAS


Ketika pertama kali membuka sepucuk surat pada Selasa 11/12/2007, terpapar secalit tulisan bertaip komputer 'pantun dua kerat'. Pelita perjalanan sudah menjangkakan surat itu datang dari siapa, sudah tentulah orang yang pelita perjalanan kenali ketika mengikuti program anjuran Persatuan Pengguna Pulau Pinang bertempat di USM. Pesarta ketika itu dikenalkan dengan 'orang lama' ini. Beliau adalah HMS Abu Bakar lebih mesra dikenali di kalangan peserta program sebagai 'Cikgu Saleh'.

Cikgu Saleh ini memang sudah lama berkecimpung dan bergiat cergas di dalam aktiviti kemasyarakatan dikala usianya masih ranum untuk berjasa pada nusa dan bangsanya, sehinggalah selewat usia beliau kini dalam sekitar 68 dan 69, beliau masih bergiat cergas dengan perjuangan untuk menegakkan hak masyarakat setempat walaupun fizikalnya sudah menampakkan susuk tubuh yang semakin dimamah usia, namun suaranya dan nafasnya dalam berkarya tidak pernah terhenti, hanya maut sebagai pemisah usaha dan gerak kerja beliau di dunia sementara ini.

Pelita perjalanan melihat HMS Abu Bakar juga adalah nama besar dalam ketokohan negara ini, pernah menjawat setiausaha Dewan Negara dalam kepimpinan 4 Perdana Menteri, beliau saya kira pada awalnya berfikiran sosialis pada pandangan lemah pelita perjalanan, ketika mana zaman beliau, umum mengetahui zaman sosialis di lewat 60-an begitu berkembang pesat pemikirannya di institusi pengajian tinggi. Namun lewat 70-an dan 80-an pemikiran revolusi Islam(gelombang hijau), mula mengganti tempat pemikiran sosialis ini.

Menariknya sosialis ini, ahli penggeraknya agak ramai duduk dalam kepimpinan negara ketika ini sebenarnya, tetapi agak pelik juga apabila melihat dunia Malaysia kini mula mengorak sistem berbeda apabila sistem ekonomi campuran(sosialis+kapitalis) yang rasanya lebih kepada sosialis diperingkat awalnya ketika itu pada firasat pelita perjalanan, namun kini berubah secara perlahan menjadi kapitalis tanpa disedari, mungkin tekanan di hadapi negara dengan kejatuhan banyak negara sosialis ketika ini.Dan pada firasat pelita perjalanan yang sememangnya lemah ini, mungkin inilah juga faktor ramai sosialis tidak boleh lagi menerima sistem kapitalis ini.

Namun perkara indah dalam setiap sistem ini tetap ada, apabila sosialis itu ditegakkan, banyak sekali penduduk dunia mengetahui pemikiran Plato, Socretas, Karl Marx, Dr. Sun Yut Sen, Lenin yang berdiri teguh dengan hak persamaan, walau Islam menjelas hak sama rata yang lebih tepat dan jauh sekali dari sistem pemusatan sosialis. Pelita perjalanan mempercayai setiap kejadian dan penciptaan tuhan itu, bahwa takdir kewujudan sistem berbeza, agama pelbagai, bangsa berbeza dan pelbagai perbezaan serta penerokaan yang tidak pernah selesai, pasti mempunyai kelebihan untuk dipelajari umat Islam dalam membangunkan masyarakat Islam itu sendiri.

Gelombang sosialis banyak sekali melahirkan puitis bahasa yang hebat, kerana itu gelombang sosialis itu banyak sekali berjaya menggerakkan nilai-nilai bahasa yang indah, bersama-samalah dengan pelita perjalanan untuk dikongsi dengan pembaca akan karya HMS Abu Bakar ini walaupun ia mungkin mengguris hati atau ada yang terasa, kerana ia bahasa dari jiwa beliau yang perlu kita hormati untuk kita fahami dan fikir sendiri





PANTUN DUA KERAT (1)

Buah cempedak buah nangka,
Buang Islam Melayu celaka.

Buah betik buah nenas,
Buang Islam di akhirat panas.

Buah duku buah langsat,
Buang Islam di akhirat bangsat.

Buah rambai buah manggis,
Buang Islam di akhirat menangis.

Buah rambutan buah pulasan,
Buang Islam di akhirat kepanasan.

Buah tembikai buah nenam,
Buang Islam dalam Neraka terbenam.

Buah peria buah kelapa,
Buang Islam di akhirat papa.

Buah petai buah ubi,
Buang Islam di akhirat rugi.

HMS Abu Bakar
8 Ramadhan 1428 Hijriah,
(20/09/2007)

Taman Meru, Ipoh.




PANTUN DAKWAH

Lepas menuai buat empin,
Boleh dimakan kemudian hari,
Kita sokong ulama memimpin,
Keredhaan Allah mudah dicari.

Ikan bawal ikan tenggiri,
Boleh dipukat dilautan dalam,
Tidak perlu Islam Hadhari,
Amalkan sahaja ajaran Islam.

Ikan sepat dalam sawah,
Membiak juga ikan puyu,
Melalui puisi boleh berdakwah,
Dari tidur terjaga Melayu.

HMS Abu Bakar
9 Syawal 1428 Hijriah,

(21/10/2007)
Taman Meru, Ipoh








PANTUN DUA KERAT (2)

I

Ikan sepat ikan puyu,
Cerdik bila ikut wahyu.

II

Ikan keli ikan haruan,
Cerdik bila ikut Quran.

III

Dalam sawah ada belut,
Orang rasuah adalah pembelot.

IV

Dalam sawah tanam padi,
Orang cerdik suka berbudi.

V

Tanam ubi tanam pisang,
Orang beriman Allah sayang.

HMS Abu Bakar,
19 Syawal 14287 Hijriah,

(31/10/2007)
Taman Meru, Ipoh.




10 NOVEMBER 2007

I

Lautan warna kuning,
Pihak korup kepala pening,
Roda terus berpusing,
Diperhati Negara asing,
Al-Jazeera bertindak profesional,
Negara luar terkejut,
Pemimpin korup takut,
Rakyat keluar beramai-ramai,
Berbaju kuning,
Mahu demokrasi,
Bebas dari manipulasi,
Pita rakaman satu konspirasi,
Mahu menguasai,
Salah satu cabang pemerintahan.

II

Hari Sabtu,
Rakyat prihatin bersatu,
Mahu hapus undi hantu,
Mahu hapus,
Undi Pos,
Mahu pengundian telus,
Mahu gunakan dakwat hitam,
Mahu daftar pengundi bersih.

III

Orang baik,
Mahu benda bersih,
Bersih aqidah,
Bersih hati,
Bersih amalan,
Bersih pentadbiran,
Bersih pemerintahan.

IV

Orang jahat takut kebersihan,
Orang korup takut kebenaran,
Orang rasuah takut keadilan,
Takut kerana salah,
Takut kerana rasuah,
Takut kerana didakwa di Mahkamah,
Mahu terus berdosa,
Mahu menempah neraka.

V

Rakyat perlu diselamatkan,
Dengan melakukan perubahan,
Dengan mewujudkan suasana telus,
Bersih memilih kerajaan,
Bersih memilih Ahli Parlimen,
Bersih di sektor Awam,
Bersih di sektor Swasta,
Dalam media massa penuh cerita,
Sukacita,
Rakyat jelata,
Sedar kebaikan Perhimpunan Awam.

HMS Abu Bakar,
9 Zulkaedah 1428 Hijriah,
(19/11/2007)
Taman Meru, Ipoh

0 Responses to "Puisi Ketua Penerangan TERAS"