Hari-Hari Lalu Itu Pahit Bila Perancangan Tiada.


27 Ogos 2008, segalanya berubah buat diriku. Walau sehebat mana sekalipun perancangan manusia, Allah adalah sebaik-baik perancang. ... Dan Allah adalah sebaik-baik perancang' [Al-Anfaal 8:30] ...

Selepas terbabit kemalangan kecil, tetapi memberi kesan impak pada fizikal dengan keretakan tulang kaki(buku lali), sehingga memaksa diri bergantung kepada tongkat untuk terus bergerak walau terbatas cuti sakit, penulis sering bersambung cuti sakit yang diberikan doktor ortopedik PPUM dari 10 hari ke 14 hari sehingga 19/09/2008 diadakan semula pemeriksaan. Semoga cuti sakit tak bersambung dan simen kaki dapat dibuka.

Melihat keadaan diri yang sudah lama tidak mengikuti kuliah tekanan mencari ilmu mula dirasa hanya kemampuan membaca dan berfikir mampu dilakukan, cuma dalam 1 minggu ini baru mula kau berjinak berusaha ke kelas setelah kesakitan sudah kurang dirasai. Namun jerihnya banyak mengajar bukan mudah menuntut ilmu dengan fizikal begini. Segala kudrat amat memerlukan semangat untuk terus menerima ilmu.




Kadang-kadang keinsafan hadir dari rasa taubat bila mengenang firman Allah swt, dalam hal berjihad dalam pelbagai aspek. Firman Allah; " Sesungguhnya ada di antara kamu: orang yang sengaja berlambat-lambat(untuk turun ke medan perang ). Kemudian, jika kamu ditimpa musibah(seperti tercedera atau terbunuh), dia berkata, "Sesungguhnya Allah telah , mengurniakan nikmat kepadaku kerana aku tidak turut berperang bersama-sama mereka..." [Surah An-Nisa' 5:73]


Dalam perihal ini memang benar Allah bersama sangkaan kita, kalau sikap negatif diterap dalam diri sudah lama rasanya penulis mahu menangguh semester. Diikutkan hati tak mahu hadir kuliah sebulan mahunya. Namun akal masih waras muhassabah perlu selalu dicerna. Penulis yakin banyak lagi boleh di buat. Pengajaran tuhan memberi kesan spritual yang lebih padu dan jitu dalam sudut rohani mahupun jasmani.

Semalaman merenung blog sendiri, dalam minda sememangnya banyak benda hendak dinukilkan. Namun nukilan ini memerlukan tanggungjawab dalam menyusun fakta, hujah dan idea yang perlu sentiasa seiring dan sejalan. Sentimen perlu dibuang jauh. Apapun diriku kesal sudah lama tidak menulis diruangan ini semenjak UM sudah mengaktifkan ADEC, penulis lebih suka berforum mengikut subjek-subjek ADEC. Seronok semester ini belajar satu subjek yang duduki kini iaitu Ekonomi Perancangan dan Pembangunan. Banyak isu macam kenaikan harga minyak, inflasi, pembangunan manusia dengan indeks HDI, analisis bajet 2009 dari sudut pembangunan dan lain-lain lagi. Semuanya memaksa kita bukan sahaja membaca lagi dan lagi tetapi memaksa kita melihat buku-buku dan maklumat sedia ada dari sudut "pati"nya atau konseptualnya, bukan sekadar tekstual semata-mata. Moga-moga dapatla kiranya diri ini menyentuh semula isu usrah dalam gerakan dan dakwah secara teoritikal dan operasionalnya dalam situasi semasa dengan mengambil kira sudut integriti ahli-ahli usrah dalam terus mampu menggerak dakwah kampus dari sudut realiti semasa bukan retorik semata-mata.



Mungkin ada benar kata-kata rakan saya yang juga blogger dengan nama jolokan sosialis kanan ; "Ahli gerakan Islam atau parti-parti Islam atau apa perkaitan yang cuba menggerakkan daulah Islamiyah lebih cenderung mengatakan ingin bangkitkan Negara Islam dengan panduan al-Quran al-Hadith, tetapi dari sudut isu semasa yang lebih besar banyak perkara tidak terjawab, seharusnya kalau benar-benar ingin lakukan anjakan negara Islam datangkan dengan persediaan dasar-dasar ekonomi dengan unjuran meyakinkan, dasar-dasar luar yang pro-aktif dalam menggerakkan pelaburan, malahan mampu menyusun strategi keadilan dan keselesaan semua bangsa dan agama dalam dan luar negara, pemikir begini kita kena cari.


Ditambah lagi kenyataan Naib Presiden PAS Datuk Mohammad Sabu lebih dikenali Mat Sabu ; generasi pelapis PAS bawah 40 tahun menunjukkan kekurangan sesuatu dalam mekanisma selaku pemimpin Islam yang mampu hadapi semua isu global, ekonomi, politik di era ini dan juga beberapa gelombang pemikiran pelbagai. Bukan tiada tetapi jumlahnya kurang, melihat kepada streotaip ceramah-ceramah mereka jelas terus bergerak atas teori yang lama ibarat wujud di zaman era gerakan PAN Islam atau Kesatuan Melayu Muda mahupun pemikiran gerakan lama Ikhwan.



Pembacaan, pemahaman, kreatif, kritis, inovatif dan kontemporari inilah menjadi garapan sebenar penggerak dakwah hari ini ringkasnya. Mereka harus menjadi individu model dalam bicara soal semasa dalam tapak yang lebih rasional. Teori jangan sesekali kita pada hari ini pertikaikan dengan cara tidak sihat, tetapi itulah kuncinya, teori terhasil dari pengkajian penyelidikan mendalam dari situ lahir konsep setelah pelbagai hipotesis di adunkan. Bermula tapak itu kita membina diri dan kefahaman yang lebih jelas dan rasional praktikalnya dan lebih meninggikan 'izzah seorang pendakwah itu.





Pembacaan seharusnya lebih lebar dengan tidak sesekali menidakkan pembacaan asas. Lebarnya pembacaan, sehingga kita tahu apa terbaik untuk Islam dan bukan Islam. Ini seharusnya ada dalam diri muslim. Lihat idea Todaro dalam pembangunan ekonomi lihat idea Mohammad Sadeq lihat idea Mohammad Iqbal dan idea Rausyhan Fikr dan idea As-Syafei, idea Qardhawi, idea Mahathir Mohammad, idea Tony Blair, idea Syeikh Daud al-Fathani, idea al-ghazali, idea Ibn Khaldun, idea Harun Din, idea Harun Yahya, idea Mahmod Zuhdi, idea Ungku Aziz, idea Syeikh Naquib al-Attas, idea Fathi Yakan, idea Hassan al-Banna, idea Sayid Quttub, idea Baddiuzaman Sayid An-Nursi, idea Umar Abd Aziz, idea Nik Aziz Nik Mat, idea Fadzil Noor, idea Jomo K.S., idea Umer Chapra, idea Afzar Ur-Rahman, idea Stephen Brayer, idea Emmanuel Todd, idea Noami Wolf, idea Rostow, idea Harrold Domar dan ramai lagi.




Semua idea dari tangan-tangan lama atau dizaman ini akan menghasilkan pendakwah yang variasinya melampui sempadan dan sesunguhnya cita-cita pendakwah perlu ada disitu. Apa guna pendakwah tanpa ilmu yang padat dan berguna. Ingat kemodenan kerajaan 'Abassiyah kerana minda umat ketika itu menorobos ruang minda yang ada, sarjana ketika itu pada hakikatnya mengembangkan semula ilmu-ilmu Yunani selepas kejatuhan Empayar Tamadun Rom. Namun di zaman ini, Barat pula menyambung segala-galanya, ingatlah setiap bangsa yang gagal pasti diganti bangsa yang lebih baik di zaman itu menurut Ibn Khaldun. Palitkan dirimu dengan pengalaman dan sejarah manusia lama agar ia mematangkan kamu, seolah-olah kamu sudah beribu tahun hidup dunia dan jangan sekali kamu kosongkankan minda kamu tanpa sebarang palitan dunia ibarat kamu sia-sia saja hidup di dunia walaupun hidupmu lebih dari umur Nabi Musa a.s.