Sudut Kewangan Islam (Perkongsian Bersama Ustaz Zaharuddin)

Wajarkah Bank Islam Tolak Permohanan ?

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

"Ustaz, saya dah cuba mohon pembiayaan dari bank Islam tetapi mereka tolak, adakah saya berdosa jika dapatkan pinjaman riba dari Bank Konvensional di ketika tu?" Demikian pertanyaan seorang pemuda sekitar umur 30 an kepada saya sejurus selepas kuliah yang panas berkaitan isu kewangan semasa di sebuah masjid.

"Dah puas saya pohon dari Bank Islam, tapi semuanya kena tolak. Kata nak selamatkan orang dari Riba, tetapi kenapa tolak permohonan saya " Komen seorang lagi melalui sms.

"Cerewet benar prosedurnya, patutnya dimudahkan orang yang selamat dari Riba ni. Ini tidak, kena tolak pula, so jadi dharuratlah untuk ambil konvensional kan ustaz?" kata seorang ibu kepada 3 orang anak ini ketika waktu ‘break' Kursus Kewangan Islam.

Wajarkah Bank Islam Tolak Saya Nak Yang Halal Ni!!

Adakah Dharurat atau Hajiat Bila Permohonan Di Tolak?

"Belum lagi" Itu jawapan ringkas saya.

Hujjahnya telah saya sebutkan dahulu iaitu:-

Kaedah :-

إنما أبيح للضرورة وإنما تستيقن الضرورة بعد الطلب

Ertinya : Sesungguhnya apa yang diharuskan kerana dharurat sesungguhnya memerlukan keyakinan akan wujudnya dharurat tersebut setelah usaha pencarian ( yang halal) - ( Syarhul Umdah, 1/426 )

Justeru dalam hal ini, adakah sudah cukup digelar dharurat atau hajiat sedangkan baru satu bank islam yang menolak. ? Sudah tentu belum, anda perlu mencuba di semua bank-bank Islam dan jendela perbankan Islam di Malaysia, sebelum boleh mendakwa anda tersepit dan terdesak untuk terlibat dengan riba di bank Konvensional. Berikut senarai bank Islam dan Jendela Perbankan Islam yang wujud di Malaysia.

Bank-bank yang punyai lesen dan jalankan operasi produknya 100% menurut Shariah adalah seperti berikut :-

  1. Affin Islamic Bank Berhad
  2. Al Rajhi Banking & Investment Corporation (Malaysia) Berhad
  3. AmIslamic Bank Berhad
  4. Asian Finance Bank Berhad
  5. Bank Islam Malaysia Berhad
  6. Bank Muamalat Malaysia Berhad
  7. CIMB Islamic Bank Berhad
  8. EONCAP Islamic Bank Berhad
  9. Hong Leong Islamic Bank Berhad
  10. Kuwait Finance House (Malaysia) Berhad
  11. RHB ISLAMIC Bank Berhad

Bank Konvensional Tetapi Punyai Lesen Untuk Wujudkan "Jendela Perbankan Islam" Bagi Menawarkan Produk Menepati Shariah.

Ia seperti berikut :-

  1. ABN Amro Bank Berhad
  2. Alliance Bank Malaysia Berhad
  3. Citibank Berhad
  4. HSBC Bank Malaysia Berhad (Bahagian Islam dinamakan HSBC Amanah)
  5. Malayan Banking Berhad
  6. OCBC Bank (Malaysia) Berhad
  7. Public Bank Berhad
  8. Standard Chartered Bank Malaysia Berhad (Bahagian Islam dinamakan Standard Chartered Sadiq)

Nota : Jika anda pergi ke bank-bank ini anda akan dapati ada produk pembiayaan Islam yang ditawarkan. Ia juga telah disahkan oleh Majlis Shariah mereka.

Institusi Kewangan yang turut menawarkan perkhidmatan produk Islam. Ia adalah seperti berikut :-

  1. Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Berhad
  2. Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad
  3. Export-Import Bank of Malaysia Berhad
  4. Bank Pertanian Malaysia
  5. Bank Simpanan Nasional Berhad

Sumber : BNM.

Jika semua bank-bank ini menolak anda kerana permohonan anda tidak mempunyai kelayakan atau disenaraihitamkan, anda boleh mencuba beberapa Koperasi yang menawarkan Pembiayaan Islam. ( Namun ia hanya bagi yang layak sahaja seperrti kakitangan kerajaan)

Bagi Insuran Islam atau Takaful pula, anda wajib mencari perlindungan dari mana-mana syarikat Takaful yang diiktiraf berikut terlebih dahulu. Ia seperti berikut :-

  1. CIMB Aviva Takaful Berhad
  2. Hong Leong Tokio Marine Takaful Berhad
  3. HSBC Amanah Takaful (Malaysia) Berhad
  4. MAA Takaful Berhad
  5. Prudential BSN Takaful Berhad
  6. Syarikat Takaful Malaysia Berhad
  7. Takaful Ikhlas Sdn Berhad
  8. Takaful Nasional Sdn Berhad

As at July 2007 : Sumber : BNM.

Setiap bank dan pengendali Takaful mempunyai cara semakan kemampuan individu ‘credit checking' yang tersendiri. Tidak semestinya jika permohonan anda ditolak di sebuah bank Islam bermakna bank Islam yang lain juga akan menolak.

Setiap bank yang mempunyai cara pemasaran dan strategi masing-masing, contohnya, Asian Finance Bank Bank tidak menawarkan pembiayaan kenderaan, Bank Islam Malaysia Berhad pula difahamkan tidak membiayai pembelian kereta terpakai ‘used car', RHB Islamic Bank pula menawarkan pembiayaan bagi kereta terpakai tetapi terdapat jenama kereta yang diterimanya dan ada yang tidak diterimanya. Justeru, tidak boleh dipukul rata semua bank Islam akan menolak jika satu menolak.

Tatkala semua institusi kewangan di atas menolak permohonan anda barulah kaedah hajiat atau dharurat boleh terpakai, itupun dalam konteks yang terbatas sebagaimana disebutkan:-

ما أبيح للضرورة يقدر بقدرها

Ertinya : Apa-apa yang diharuskan kerana sebab dharurat, adalah dibataskan dengan batasan tertentu" (As-Ashbah Wa An-Nazair, As-Suyuti, 1/82 ; Hawashi Asy-Syarwani, 3/27 )

Ia mensyaratkan penggunaan minima dan mempunyai had tertentu. Ertinya wajib dihadkan kepada jumlah dan kadar sekadar menampung keperluan mendesak sahaja tanpa bermewahan dan mengambil kesempatan pula. Dalam konteks rumah, ia adalah rumah pertama untuk didiami sahaja dan bukan rumah bagi tujuan pelaburan melalui sewa atau lain-lain.

Apa Yang Bank Islam Semak Dari Pemohon ?

Setiap bank mempunyai cara masing-masing, saya tidak mampu menyatakan semua cara mereka dan ia juga bersifat terlalu teknikal.

Secara umum, mereka akan menyemak :-

1) Kemampuan pendapatan bulanan anda dan beban hutang-hutang anda dari pelbagai bank lain. Ia dinamakan ‘Margin of Repayment' dan ‘Agrgregated margin of repayment'.

Setiap bank Islam meletakkan peratusan kemampuan pelanggan yang tersendiri bagi memenuhi standard kredit bank. Sebagai contoh, di ketika pemohonan dibuat, pelanggan mestilah mempunyai lebihan pendapatan bulanan sebanyak 50 % dari semua jumlah hutang-hutang dari pelbagai bank.

Formula kiraan : -

Bayaran Ansuran Bank A + B + C = mesti kurang dari 50%

Jumlah Pendapatan Kasar Bulanan

Contoh En. Karim yang berpendapatan bulanan RM 5000 dan punyai sebuah rumah dengan bayaran ansuran sebanyak RM 1000, dua buah kereta RM 550 dan RM 600. Kini beliau ingin membeli sebuah rumah lagi, justeru pihak bank akan memastikan kekuatan kewangannya seperti berikut :-

RM 1000 + RM 550 + RM 600 = 43 %

RM 5000

Jika dilihat dari keputusan ini iaitu 43 % , ini beerti permohonan En Karim layak untuk diproses dan diluluskan.

Jika tidak begitu cukup, anda mungkin memerlukan penjamin atau memasukkan nama isteri atau suami untuk menggabungkan kekuatan kewangan bagi berurusan dengan bank ini.

2) CTOS : Repot ini biasanya mengandungi ‘customer's legal status' sebagai contoh saman-saman dan proseding kemuflisan, sebarang kes mahkamah dan lain-lain berkaitan undag-undang.

Menurut CEO syarikat CTOS Sdn Bhd, mereka sentiasa mengemas kinikan informasi yang ada setiap hari, info ini mereka kumpul dari info awam di Jabatan insolvensi Negara, surat khabar dan lain-lain. Namun baru-baru ini perkhidmatan mereka menempuh kontroversi kerana terdapat banyak info yang tidak dikemaskni dan menyebabkan pihak bank menolak permohonan individu yang telah bersih dari masalah undang-undang. Rujuk di sini.

3) Central Credit Reference Information System (CCRIS) : Buat masa ini sistem ini mempunyai informasi seramai 5 juta peminjam dan pelanggan di bank-bank seluruh Malaysia. Melaluinya pihak bank dapat mengetahui samada pemohon mempunyai pernah lewat membayar atau tidak dalam hutag-hutangnya di bank lain, samda dalam kad kredit, rumah, kereta dan lain-lain. jika ada, maka laluan untuk mendapat kelulusan agak sukar.

4) Jenis kereta dan tahun pembuatannya (jika ingin beli kereta) dan pemaju (jika ingin membeli rumah di dalam pembinaan)

Ini kerana sebahagian jenis kereta dianggap tidak berdaya saing dan amat sukar untuk dijual di pasaran. Justeru risiko agak tinggi bagi bank untuk membiayai pelanggannya.

Demikian juga pemaju dan lokasi rumah yang ingin dibeli. Mungkin tidak semua bank Islam menyemaknya tetapi secara umum mereka perlu meneliti perkara-perkara ini bagi memastikan transaksi yang ingin dimeterai dengan pelanggan adalah satu perniagaan yang berisiko agak kurang atau risiko.

Apa yang disebut hanyalah adalah beberapa info ringkas sahaja, sekadar memberikan gambaran kasar kepada pembaca.

Setelah semua ini disemak barulah bank akan meluluskan atau menolak permohonan pelanggannya.

Wajarkah Bank Islam Tolak ?

Setelah kita mengetahui demikian cara semakan pihak bank, persoalan seterusnya adakah wajar sebuah Bank Islam menolak permohonan pembiayaan pelanggan yang inginkan proses halal dalam pemilikan kereta, rumah dan lain-lainnya?.

Pertama : Sebagaimana yang telah diberitahu dalam artikel sebelum ini, bank Islam adalah sebuah entiti perniagaan. Sudah tentu ia tidak akan mendedahkan dirinya kepada risiko berurusan dengan individu yang dijangka tidak mempunyai kemampuan (menurut standard piawaian mereka) mampu untuk membayar hutang hasil jual beli asset yang akan dilaksanakan.

Contoh mudah, jika kita mempunyai sebuah rumah yang ingin disewakan. Kemudian datang seorang lelaki yang berminat untuk menyewa tetapi ia tidak mempunyai sebarang kerja yang kukuh, sedangkan kos sewaan sebulan rumah yang ingin kita tawarkan adalah sebanyak RM 800. Adakah anda sanggup menyewakannya ? Sedangkan anda terpaksa membayar ayaran bulanan kepada bank sebanyak RM 750 sebulan.

Dalam hal ini anda terpaksa membuat budjet yang tepat bagi meraih untung dan dalam masa yang sama memastikan bayaran bulanan kepada bank mampu dilunaskan.

Demikian halnya sebuah bank, ia mempunyai tanggungjawab bagi memeastikan individu yang melabur dengannya boleh mendapat pulangan yang baik, bagi memastikan keuntungan mampu dicapai, sudah tentu ia terpaksa memilih pelanggan.

Kesimpulannya, samada anda mahu menyewakan rumah anda kepada pelanggan seperti ini atau tidak, ia akan bergantung kepada pengurusan dan standard atau piawaian anda selaku pemilik aset. Jika anda meneliti buku-buku pakar kewangan. Sudah pasti mereka akan menyarankan anda agar tidak menyewakannya kecuali kepada orang yang mempunyai tahap kewangan yang meyakinkan.

Kedua : Dari sudut Islam pula, jika ada yang ingin meminjam wang dari anda. Adalah elok jika anda memastikan tahap amanah dan potensi mereka untuk membayar hutangnya kelak, kecuali jika anda sudah berniat dari awal untuk mensedeqahkannya kepada peminjam di waktu kesusahannya.

Allah s.wt berfirman :-

وَإِن كَانَ ذُو عُسْرَةٍ فَنَظِرَةٌ إِلَى مَيْسَرَةٍ وَأَن تَصَدَّقُواْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Ertinya : "Dan jika (orang berutang itu) dalam kesukaran, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan. Dan menyedekahkan (sebagian atau semua utang) itu, lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui."

Menghalalkan hutang merupakan satu tindakan yang amat terpuji dan sesuai dilakukan secara individu tapi untuk mengharapkan sebuah entiti perniagaan seperti bank-bank Islam menyedeqahkan sahaja hutang yang berpuluh ribu ringgit jumlahnya, ia mungkin agak keterlaluan.

Justeru jika kita tidak berniat untuk menghalalkannya atau memberikan tempoh lebih panjang di waktu peminjam sukar, eloklah kita jangan memberikan hutang itu kerana kelak ia akan menjerumuskan si peminjam ke dalam dosa-dosa yang pelbagai seperti hadis ini :-

إن الرجل إذا غرم حدث فكذب , ووعد فأخلف

Ertinya : Baginda menyebut : " Sesungguhnya seorang itu apabila ia berhutang, ketika ia berbicara ia kerap berdusta, bila berjanji ia kerap mengingkarinya" ( Riwayat Al-Bukhari, 1/214 )

Dan juga sebuah hadis lain :-

مطل الغني ظلم

Ertinya : "Penangguhan pembayaran hutang oleh orang yang berkemampuan adalah satu kezaliman" ( Al-Bukhari, 3/55)

Bagi orang sebegini, para ulama menyatakan harus hukumnya untuk di tangkap dan dijatuhkan hukuman takzir. Imam Al-Haithami pula mengatakan ORANG BERKEMPUAN TAPI MENGGUH MELUNASKAN HUTANG DENGAN SENGAJA dikira sebagai salah satu dari dosa besar ( Az-Zawajir ‘An Iqtiraf al-Kabair, 1/250 )

Kesimpulannya, member hutang kepada orang yang tidak layak boleh menjermuskan mereka kepada tiga dosa berikut :-

  • a- Bercakap lalu berbohong
  • b- Berjanji lalu mungkiri janji
  • c- Ada duit tapi tangguh bayar lalu tergolong dalam kumpulan ‘Mumatil' dan dihukum zalim oleh Nabi s.a.w.

Hasilnya, tidak wajar kita menuduh bank-bank Islam sebagai zalim kerana menolak permohonan kita kerana menurut sudut pandangan Islam, ia turut mempunyai masalahat dan kepentingan yang diiktiraf oleh Shariah iaitu menjaga maslahat pemohon itu juga, agar tidak menjermuskannya ke lembah hina dan gagal bayar.

Saya kira sebagai perancangan kewangan yang bereksan, cuba pastikan setiap kali anda ingin membuat tambahan hutang, pastikan pendapatan dan pbeban hutang anda kurang dari 50 % sebagai formula bank tadi, ia baik diamalkan bagi individu.

Kini pihak academia Islam di universiti-universiti sedang mencadangkan diwujudkan pembiayaan mikro kredit Islam. Ia lebih khusus bagi individu berpendapatan rendah dan kesukaran untuk memperolehi pembiayaan. Namun masalahnya adalah kita kekurangan individu kaya dan syarikat kaya yang sudi untuk melepaskan peluang mendapat untung besar untuk masuk ke dalam jenis pembiayaan mikro ini yang menawarkan untung kecil dan pahal besar. Ini menyebabkan cadangan para ahli akademik menjadi bahan di perpustakaan sahaja.

Sekian,

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

10 Disember 2007

30 ZulQaedah 1428 H

Puisi Ketua Penerangan TERAS


Ketika pertama kali membuka sepucuk surat pada Selasa 11/12/2007, terpapar secalit tulisan bertaip komputer 'pantun dua kerat'. Pelita perjalanan sudah menjangkakan surat itu datang dari siapa, sudah tentulah orang yang pelita perjalanan kenali ketika mengikuti program anjuran Persatuan Pengguna Pulau Pinang bertempat di USM. Pesarta ketika itu dikenalkan dengan 'orang lama' ini. Beliau adalah HMS Abu Bakar lebih mesra dikenali di kalangan peserta program sebagai 'Cikgu Saleh'.

Cikgu Saleh ini memang sudah lama berkecimpung dan bergiat cergas di dalam aktiviti kemasyarakatan dikala usianya masih ranum untuk berjasa pada nusa dan bangsanya, sehinggalah selewat usia beliau kini dalam sekitar 68 dan 69, beliau masih bergiat cergas dengan perjuangan untuk menegakkan hak masyarakat setempat walaupun fizikalnya sudah menampakkan susuk tubuh yang semakin dimamah usia, namun suaranya dan nafasnya dalam berkarya tidak pernah terhenti, hanya maut sebagai pemisah usaha dan gerak kerja beliau di dunia sementara ini.

Pelita perjalanan melihat HMS Abu Bakar juga adalah nama besar dalam ketokohan negara ini, pernah menjawat setiausaha Dewan Negara dalam kepimpinan 4 Perdana Menteri, beliau saya kira pada awalnya berfikiran sosialis pada pandangan lemah pelita perjalanan, ketika mana zaman beliau, umum mengetahui zaman sosialis di lewat 60-an begitu berkembang pesat pemikirannya di institusi pengajian tinggi. Namun lewat 70-an dan 80-an pemikiran revolusi Islam(gelombang hijau), mula mengganti tempat pemikiran sosialis ini.

Menariknya sosialis ini, ahli penggeraknya agak ramai duduk dalam kepimpinan negara ketika ini sebenarnya, tetapi agak pelik juga apabila melihat dunia Malaysia kini mula mengorak sistem berbeda apabila sistem ekonomi campuran(sosialis+kapitalis) yang rasanya lebih kepada sosialis diperingkat awalnya ketika itu pada firasat pelita perjalanan, namun kini berubah secara perlahan menjadi kapitalis tanpa disedari, mungkin tekanan di hadapi negara dengan kejatuhan banyak negara sosialis ketika ini.Dan pada firasat pelita perjalanan yang sememangnya lemah ini, mungkin inilah juga faktor ramai sosialis tidak boleh lagi menerima sistem kapitalis ini.

Namun perkara indah dalam setiap sistem ini tetap ada, apabila sosialis itu ditegakkan, banyak sekali penduduk dunia mengetahui pemikiran Plato, Socretas, Karl Marx, Dr. Sun Yut Sen, Lenin yang berdiri teguh dengan hak persamaan, walau Islam menjelas hak sama rata yang lebih tepat dan jauh sekali dari sistem pemusatan sosialis. Pelita perjalanan mempercayai setiap kejadian dan penciptaan tuhan itu, bahwa takdir kewujudan sistem berbeza, agama pelbagai, bangsa berbeza dan pelbagai perbezaan serta penerokaan yang tidak pernah selesai, pasti mempunyai kelebihan untuk dipelajari umat Islam dalam membangunkan masyarakat Islam itu sendiri.

Gelombang sosialis banyak sekali melahirkan puitis bahasa yang hebat, kerana itu gelombang sosialis itu banyak sekali berjaya menggerakkan nilai-nilai bahasa yang indah, bersama-samalah dengan pelita perjalanan untuk dikongsi dengan pembaca akan karya HMS Abu Bakar ini walaupun ia mungkin mengguris hati atau ada yang terasa, kerana ia bahasa dari jiwa beliau yang perlu kita hormati untuk kita fahami dan fikir sendiri





PANTUN DUA KERAT (1)

Buah cempedak buah nangka,
Buang Islam Melayu celaka.

Buah betik buah nenas,
Buang Islam di akhirat panas.

Buah duku buah langsat,
Buang Islam di akhirat bangsat.

Buah rambai buah manggis,
Buang Islam di akhirat menangis.

Buah rambutan buah pulasan,
Buang Islam di akhirat kepanasan.

Buah tembikai buah nenam,
Buang Islam dalam Neraka terbenam.

Buah peria buah kelapa,
Buang Islam di akhirat papa.

Buah petai buah ubi,
Buang Islam di akhirat rugi.

HMS Abu Bakar
8 Ramadhan 1428 Hijriah,
(20/09/2007)

Taman Meru, Ipoh.




PANTUN DAKWAH

Lepas menuai buat empin,
Boleh dimakan kemudian hari,
Kita sokong ulama memimpin,
Keredhaan Allah mudah dicari.

Ikan bawal ikan tenggiri,
Boleh dipukat dilautan dalam,
Tidak perlu Islam Hadhari,
Amalkan sahaja ajaran Islam.

Ikan sepat dalam sawah,
Membiak juga ikan puyu,
Melalui puisi boleh berdakwah,
Dari tidur terjaga Melayu.

HMS Abu Bakar
9 Syawal 1428 Hijriah,

(21/10/2007)
Taman Meru, Ipoh








PANTUN DUA KERAT (2)

I

Ikan sepat ikan puyu,
Cerdik bila ikut wahyu.

II

Ikan keli ikan haruan,
Cerdik bila ikut Quran.

III

Dalam sawah ada belut,
Orang rasuah adalah pembelot.

IV

Dalam sawah tanam padi,
Orang cerdik suka berbudi.

V

Tanam ubi tanam pisang,
Orang beriman Allah sayang.

HMS Abu Bakar,
19 Syawal 14287 Hijriah,

(31/10/2007)
Taman Meru, Ipoh.




10 NOVEMBER 2007

I

Lautan warna kuning,
Pihak korup kepala pening,
Roda terus berpusing,
Diperhati Negara asing,
Al-Jazeera bertindak profesional,
Negara luar terkejut,
Pemimpin korup takut,
Rakyat keluar beramai-ramai,
Berbaju kuning,
Mahu demokrasi,
Bebas dari manipulasi,
Pita rakaman satu konspirasi,
Mahu menguasai,
Salah satu cabang pemerintahan.

II

Hari Sabtu,
Rakyat prihatin bersatu,
Mahu hapus undi hantu,
Mahu hapus,
Undi Pos,
Mahu pengundian telus,
Mahu gunakan dakwat hitam,
Mahu daftar pengundi bersih.

III

Orang baik,
Mahu benda bersih,
Bersih aqidah,
Bersih hati,
Bersih amalan,
Bersih pentadbiran,
Bersih pemerintahan.

IV

Orang jahat takut kebersihan,
Orang korup takut kebenaran,
Orang rasuah takut keadilan,
Takut kerana salah,
Takut kerana rasuah,
Takut kerana didakwa di Mahkamah,
Mahu terus berdosa,
Mahu menempah neraka.

V

Rakyat perlu diselamatkan,
Dengan melakukan perubahan,
Dengan mewujudkan suasana telus,
Bersih memilih kerajaan,
Bersih memilih Ahli Parlimen,
Bersih di sektor Awam,
Bersih di sektor Swasta,
Dalam media massa penuh cerita,
Sukacita,
Rakyat jelata,
Sedar kebaikan Perhimpunan Awam.

HMS Abu Bakar,
9 Zulkaedah 1428 Hijriah,
(19/11/2007)
Taman Meru, Ipoh

Sudut Ekonomi Islam

Dalam sudut ekonomi ini, ia merupakan penulisan pertama pelitaperjalanan untuk artikel berkaitan ekonomi di sudut ini. Pelita perjalanan(penulis), tergerak untuk mencuba menjadi cahaya dikala suramnya dunia dengan propaganda Yahudi dan Nasara yang tidak akan sesekali meredhai kita, selagi mana akidah kita tidak berpaling, semoga Allah swt menjadikan semua Muslim yang taat ini cahaya yang terus menerangi dunia yang kian tua dan uzur ini.Waluapun sekecil mana sekalipun usaha kita semoga ada sinar di situ. Jangan bisa sekali membiar Muslim yang melata di dunia kini menjadi air yang cuba memadam pelita keimanan dihati-hati umat hari ini.

Melalaui artikel yang saya datangkan dengan ringkas adalah molek dibicarakan soal ekonomi ini dengan dasarnya. Artikel ringkas ini dikongsi dari ekonomis Islami Indonesia, saya menulis dengan bahasa mudah untuk rakyat Malaysia. Ketika mana umat Islam ini terus bicara soal Ekonomi itu sama hampir dengan kewangan (ekonomi Islam = perbankan Islam), maka sedih sekali pelita perjalanan(penulis) melihat gelagat penyoal pengguna Muslim apabila tidak mahu mengetahui asal mana hasilnya perbankan Islam.

Sedih bila ruangan Zaharuddin.Net(laman Islami yang dipenuhi perihal kewangan Islam) diadu domba oleh duniawi Muslim yang tidak dapat menerima pandangan Ustaz Zaharuddin yang penuh himah kiranya pada perkiraan pelitaperjalanan, ianya berlaku kesan sukelarisme ekonomi berlaku hari ini. Banyak memandang keuntungan(profit) dari kebajikan dan pahala serta keredhaan harta. Tak kurang juga sanggup menolak kerana ektremis bangsa(perniagaan Melayu) tanpa melihat halal haram sesuatu transaksi dilakukan.

Tanpa bicara panjang pelita perjalanan ingin menerangkan perihal keinginan dan kehendak(apa persamaan dan perbezaan) dalam penentuan pembelian barang oleh pengguna dalam sesuatu pasaran. Apa perspektif Islam?






VS







Kehendak lwn Keinginan


Aktiviti ekonomi memang bermula dari kehendak fizikal manusia itu untuk dapat terus hidup (survive) di dunia ini. Segala keperluan untuk bertahan hidup akan sekuat tenaga diusahakan sendiri, namun ketika kehendak untuk hidup itu tidak dapat dipenuhi sendiri dan kehidupan manusia memang tidak bersifat individual tapi sosial (kolektif), maka terjadilah interaksi pemenuhan kehendak hidup diantara para manusia. Interaksi inilah yang sebenarnya merepresentasikan interaksi permintaan dan penawaran, interaksi pengguna dan pengeluar, sehingga muncullah pasaran sebagai wadah interaksi ekonomi ini.


Pemenuhan keperluan hidup manusia ini secara terperinci memiliki tahapan-tahapan (peringkat). Berdasarkan teori Maslow, keperluan hidup itu berawal dari memenuhi keperluan hidup yang bersifat 'kehendak dasar' (basic needs), kemudian pemenuhan keperluan hidup yang lebih tinggi secara terperinci adalah seperti keamanan, keselesaan dan kemewahan. Namun perlu difahami bahwa teori Maslow ini jelas merujuk pada lingkungan pemikiran konvensional yang menggunakan perspektif individualistik-materialistik.

Sementara dalam Islam tahap memenuhi keperluan hidup dari seseorang atau individu boleh diumpamakan seperti yang Maslow gambarkan, tapi perlu dijelaskan lebih dengan jelas bahwa kepuasan keperluan hidup setelah peringkat pertama (memenuhi kehendak dasar) akan dilakukan ketika mana jumlah keperluan kehendak dasar tadi sudah berada dikedudukan yang aman. Ertinya masyarakat (umat) sudah dipenuhi kehendak dasarnya(keperluan asas), sehingga tidak akan ada implikasi negatif(sifat mazmumah) yang bakal muncul kesan memenuhi kehendak dasar tadi yang belum sempurna wujud. Jadi keperluan peranan suatu penguasa(autoriti) atau negara dalam memastikan itu semua. Seperti yang nanti dijelaskan dalam bab selanjutnya, bahwa memang ada beberapa mekanisme dalam sistem ekonomi Islam yang tidak akan berjalan efektif jika tidak ada campur tangan negara.

Selain itu perlu difahami juga bahwa ukuran kepuasan Islam bukan hanya terbatas pada benda-benda konkrit (material), tapi juga tergantung pada sesuatu yang bersifat abstrak, seperti amal soleh yang manusia lakukan. Atau dengan kata lain, bahwa kepuasan dapat timbul dan dirasakan oleh seorang manusia muslim ketika harapan mendapat kredit point (pahala) dari Allah SWT melalui amal solehnya semakin besar. Pandangan ini tersirat dari perbahasan ekonomi yang dilakukan oleh Hasan Al Banna.[1] Beliau mengungkapkan firman Allah yang mengatakan:

“Tidakkah kamu perhatikan sesungguhnya Allah telah menundukkan untuk (kepentingan)mu apa yang di langit dan apa yang di bumi dan menyempurnakan untukmu nikmat-Nya zahir dan batin.” (QS. Lukman: 20)

Apa yang diungkapkan oleh Hasan Al Banna ini semakin menegaskan bahwa ruang lingkup keilmuan ekonomi Islam lebih luas dibandingkan dengan ekonomi konvensional. Ekonomi Islam bukan hanya berbicara tentang kepuasan material yang bersifat fizikal, tapi juga berbicara cukup luas tentang kepuasan material yang bersifat abstrak, pemuasan yang lebih berkaitan dengan posisi manusia sebagai hamba Allah SWT.

Umer Chapra (2000) mencuba menjelaskan maksud Imam Al Ghazali dalam mendefinisikan fungsi syariah dalam Islam. Al Ghazali mendefinisikan bahwa fungsi Syariah adalah untuk mensejahterakan seluruh manusia melalui perlindungan agama, diri manusia, akal, keturunan dan harta. Chapra menyimpulkan bahwa dengan memasukkan jiwa manusia, akal dan keturunan di dalam model-model ekonomi, adalah mungkin untuk menciptakan kepuasan yang seimbang dari berbagai kepentingan manusia.

Dari pembahasan keperluan hidup manusia dan tahapannya tadi, sebenarnya juga penting untuk di bahas apa perbedaan kehendak dan keinginan dalam ekonomi Islam yang mendapat perhatian tidak kurang besarnya. Karena kedua motif tadi akan disignifikan dengan membedakan corak atau karakteristik aktiviti ekonomi.

Islam memiliki nilai moral yang begitu ketat dalam memasukkan “keinginan” (wants) dalam motif aktiviti ekonomi. Mengapa? Dalam banyak ketentuan prilaku ekonomi Islam, dominasi motif “kehendak” (needs) menjadi nafas dalam perekonomian bernilai moral Islam ini, bukan keinginan. Apa perbezaan dan persamaannya?

Kehendak (needs) lebih didefinisikan sebagai segala keperluan dasar manusia untuk kehidupannya. Sementara keinginan (wants) didefinisikan sebagai desire (kemahuan)[2] manusia atas segala hal. Jadi ruang lingkup definisi keinginan akan lebih luas dari definisi kehendak. Contoh sederhana dalam menggambarkan perbedaan kedua kata ini dapat dilihat dalam penggunaan manusia pada air untuk menghilangkan dahaga. Kehendak seseorang untuk menghilangkan dahaga mungkin akan cukup dengan segelas air putih, tapi seseorang dengan kemampuan dan keinginannya dapat saja memenuhi kebutuhan itu dengan segelas wishky, yang tentu lebih mahal dan lebih memuaskan keinginan.

Memang diakui bahwa perbezaan keinginan dan kehendak begitu berkait diantara satu manusia dengan manusia lain. Salah satu faktor yang cukup menentukan dalam membezakan keduanya adalah menilai keduanya menggunakan perspektif kolektifitas (kebersamaan atau kejama’ahan). Dan inilah yang sebenarnya ukuran umum yang harus digunakan dalam menilai sebuah kemanfaatan dari sesuatu termasuk mengidentifikasi perbedaan antara keinginan dan kehendak. Dengan kebersamaan kita dapat menilai seperti apa keadaan lingkungan manusia di sekitar kita, sehingga dengan sangat mudah kita dapat menentukan apakah tindakan kita itu mencerminkan kehendak atau keinginan.

Namun perlu juga diingat bahwa konsep keperluan dasar dalam Islam ini sifatnya tidak statistik, ertinya keperluan dasar pelaku ekonomi bersifat dinamis merujuk pada tingkat ekonomi yang ada pada masyarakat. Sehingga pada tingkat ekonomi tertentu sebuah barang yang dulu lebih digunakan akibat motivasi keinginan, pada tingkat ekonomi yang lebih baik barang tersebut telah menjadi kehendak. Jadi ukuran yang membedakan definisi kehendak dan keinginan ini (sekali lagi) tidak statik, ia bergantung pada kondisi(suasana) perekonomian serta ukuran kemashlahatan. Dengan standard kamashlahatan penggunaan barang tertentu maka dapat saja dinilai kurang, ketika sebagian besar ummat atau masyarakat dalam keadaan susah.

Dengan demikian sangat jelas terlihat bahwa prilaku ekonomi Islam tidak didominasi oleh nilai alamiah yang dimiliki oleh setiap individu manusia, ada nilai diluar diri manusia yang kemudian membentuk prilaku ekonomi mereka. Dan nilai tersebut adalah Islam itu sendiri, yang diyakini sebagai tuntunan utama dalam hidup dan kehidupan manusia. Jadi berkaitan dengan variabel keinginan dan kebutuhan ini, Islam sebenarnya cenderung mendorong keinginan pelaku ekonomi sama dengan kehendaknya. Dengan segala nilai dan norma yang ada dalam akidah dan akhlak Islam, peleburan atau asimilasi keinginan dan kebutuhan dimungkinkan untuk terjadi.

Peleburan keinginan dengan kehendak dalam diri manusia Islam terjadi melalui pemahaman dan pengamalan akidah dan akhlak yang baik (Islamic norms). Sehingga
ketika asimilasi itu terjadi, maka terbentuklah pribadi-pribadi muslim (homo-islamicus) yang kemudian menentukan prilaku ekonominya yang asli yang mana bersumber dari Islam. Dan secara simulasi yang semulajadi, ekonomi tentu akan mengkristal menjadi sistem yang jelas berbeda dengan sistem ekonomi yang telah digunapakai saat ini.
[1] Hasan Al Banna, Risalah Pergerakan Ikhwanul Muslimin, Intermedia, Jakarta 1997. pp. 387-409.
[2] Meskipun kata kamahuan ini juga kurang tepat untuk menggambarkan "desire".

Puisi Dinihari



Warna Dunia

Bila warnanya ungu,
Segenap ruang itu berbisu,
Berpalit noda dek sunyi binasa,
Menyinggah alam hina tanpa bicara.

Bila warnanya merah,
Sempitnya ruangan arah tujuan,
Bejat datang iltizam datang,

Tanpa hidayah pincang talinya.

Bila warna itu biru,

Ruangan sudut itu binasa,
Melebar tiada sempadan mencari kekuasaan,
Hatta tiada panduan pincang akalan.

Bila warnanya hijau,

Entah bila ia berirama,
Damai itu bersama mencari maksud dunia,

Aqidah berpaksi tanpa terpaksa.

Bila warnanya hitam,
Ruangan itu tiada walau secebis enigma,
Entah mana langkah entah mana minda,
Taqlid membabi buta mungkin itu bicaranya.

Bila warnanya putih,
Ruangan itu memapar enigma,
Mencari tiang mencari akar mencari hala tujuan,
Binasa bahagia tiada di minda hanya panduan dipinta.

Warna-warninya dunia,
Umpama utopia membaja lalu membunga,
Datangya dari sudut fitrahan pencipta,
Hembusan nafas sempurna,
Masyarakat bijaksana,
Allah redha warnanya.


Farhan al-gemasi
8.45 mlm,
3 Disember 2007,
Taman Semarak 2, Nilai, Negeri Sembilan.

Puisi Perjalananku...

Ketika pulang ke kampung ayahandaku yang merupakan anak jati Pulau Pinang ( Pulau Mutiara) ; tanpa di minta aku telah tergerak oleh satu kemahuan yang luar biasa untuk menulis sebuah sajak yang aku rasa tidak seberapa, kerana pengalaman sedikit cuma, mungkin kesan kursus di USM Sg. Dua Pulau Pinang, aku luahkan nafas dan rasaku pada sebuah pulau yang menjadi tanah tumpah ayahandaku.

Namun resepi kursus untuk menjadi penggerak dan pemimpin di USM itu indah dan tenang sekali, bila gelora jiwa dimain oleh keindahahan bahasa. Baru kusedari bahasa yang datang dari hati itu bisa menjadi kunci pemimpin yang disegani.




Hujung Penjara Indah

Terbentang lautan yang luas,
Burung besi itu terbang rendah di pesisiran,
Menyinggah disarang luas Bayan Lepas,
Umpama camar pulang di sudut itu,

Tersemai cinta pada pencipta.

Disebalik pantulan cermin lautan ungu lalu membiru,
Terisi ruangan nakhoda dunia,
Si nakhoda celaka binasa dunia,

Si pencipta murka si nakhoda binasa.

Pulau Pinang bumi bertuah,
Dikala sejarah menyinggahi "Princes of Wales" nama di beri,

Bebanan si putih semboyan berbunyi,
Pulau kosong dombaan penakluk.

Si putih pergi disangka bererti,
Rupanya Melayu menghancuri diri,
Entah dimana silap Hang Tuah,
Tanah Besar menjajahi diri.


Mati akar di pulau Jerjak,

Teras Melayu hilang di hati,
Aqidah pencipta tersungkur mati,
Neraka Jahanam penjara abadi.

Farhan al-gemasi
29 November 2007
Pantai Permatang Damar Laut,
Bayan Lepas, Pulau Pinang,
8 pagi.


Cabaran Pemikiran Muda

Sering masyarakat di kampus mahupun di luar sana cuba mencari-cari noktah pemikiran muda-mudi di akhir alam remajanya dan permulaan cerita kisah dewasanya..

Apabila bicara perkara masa hadapan dari prospek cerah atau malapnya kehidupan seseorang insan itu, ramai silap dengan mengklafikasikan dengan mata kasar yang tiada upaya itu dalam mentakrifkan nilai ilmu ibarat setitis air di lautan.

Ilmu ini adalah milik Allah swt, ketika usiaku mencecah belasan tahun aku begitu hebat berbicara itu ini, sehingga unsur-unsur kepalsuan tercermin di kala aku termenung kembali setelah puas bicaraku kepada sesiapa hanya demi untuk menegakkan sedikit pengalaman dan perolehan ilmu yang bersifat kecil vakumnya.

Dienjak kematangan dalam usia 16 tahun dan 17 tahun hati muda mana bisa tidak tertarik dengan metarialistik yang muncul ketika mana minda dan akal masih dalam tumbesaran, hati yang berisi amarah lebih maju terdidik untuk menguasai segala takhta hati. Gelumang noda begitu mudah terperoleh dan tertanam dengan kemas dan tersemai pelbagai peribadi yang bejat dikala itu telah melahirkan ramai sekali pendusta agama.

Kemudian hidup ini penuh doa dan harapan dari insan disekeliling dan kita akhirnya berubah atas doa mereka dan kita terus merangka dunia kita yang lebih maju. Namun dalam kesempurnaan perjalanan kemajuan kita itu, masih ada yang pasif rupanya. Bukan kejahatan membelenggu mereka namun cerita lain bermula. Pemikiran menjadi cerita , tindakan itu pula menjadi berbeza.

Menceritakan kesempurnaan manusia memang benar tiada sempurnanya. Cubalah lihat rentetan hayat kita selama mana kehidupan ini, pasti ada perkara yang terlepas pandang dan terlepas untuk kita berfikir bersama.

Apa kisah rakan kita di tadika? sekolah rendah? sekolah menengah? IPT?
Apa kisah guru kita di tadika? sekolah rendah? sekolah menengah? IPT?
Apa suasana kini kehidupan kita?

Namun jika diselidiki difikirkan pernahkah kita persoalkan, kita berada disistem mana?
Mengapa kita ada rakan yang berbeza malahan pergaulan dan gaya hidup juga berbeda?
Mengapa kita hidup di muka bumi ini kita sentiasa di aruskan oleh air? Adakah tiada haluan lain hidup ini?

Menyedari konsep ini seribu satu persoalah sebenarnya kita boleh timbulkan dan kita berhak untuk pertikai dan persoal. Wahai muda mudi cambahkan pemikiran dan penelitianmu dan pertaruhkan akal mu untuk tujuan lebih besar.

Dalam langkahan perjalanan aku, terngiang nasihat ini ditelinga ini.. INSAN BERJIWA KECIL SERING MEMBUNTUTI SEJARAH, INSAN BERJIWA SEDERHANA SENTIASA MENGIKUTI SEJARAH, INSAN BERJIWA BESAR PASTI MENCIPTA SEJARAH...

D
alam kondisi ini, jiwa besar semakin pupus, cerita hayatku sehingga berusia 21 tahun ini banyak menceritakan kegagalan rakanku dalam kehidupan, terperangkap dengan jerangkap samar mainan Yahudi. Jiwa Islam diruntuhi, metarealistik terus merajai, nilai Ilmu dijauhi, kejahilan menjajahi.


Konteks gagal banyak sekali disalah erti dengan sebuah sijil pelajaran(peperiksaan) yang tak pernah ku hormati sehingga kini. Mereka mengklafikasikan insan berjaya itu datang dari muda-mudi yang datangnya dari universiti. HAHAHA lucu sekali hidup ini manusia itu ibarat produk dan universiti itu ibarat kilang.

Entahlah bidalan dunia ini pelik sekali namun, aku percaya ilmu yang berguna itu pasti banyak lagi diluar pagar universiti itu. Cuma ku tetap meyakini universti itu tetap lubuk ilmu. Tapi insan yang memasukinya banyak sekali kurasakan pelancong yang melancong di lubuk ilmu itu, bukan lagi umpama arkeologi mumia yang terus menggali mencari jawapan hingga kini.

Pemikir muda perlu bergerak, memikir untuk menerobos minda, pasti disekeliling perjalanan hidup ada yang tidak kena!! Timbulkan terus persoalan untuk mengkaji masalah diri, keluarga hingga masyarakat. Biar muda itu tidak sia-sia, terus lena tak berakal dalam berkata...

Salam pemikiran muda untuk mencari pelita perjalanan!!!